Saturday, January 22, 2011

Ponsikau


Ponsikau


Diriku seorang yang menggemari cabaran dan suka menjelajah ke sesuatu kawasan. Banyak pengalaman dapat dikutip apabila kita berada di sesebuah kawasan baru kerana setiap kawasan mempunyai budaya hidup yang berlainan. Setiap kelainan budaya itu lazimnya disebabkan persekitaran masyarakatnya seperti asal-usul, struktur ekonomi dan bahasa mereka.

Aku dan nana sedang membayar di kaunter pembayaran. Jurukira wang di kaunter pembayaran itu tersenyum melihat aku. Setelah aku selesai membayar barang  yang aku beli itu, jurukira itu pun berkata “ Ponsikau”.  Aku yang tidak memahami maksud perkataan itu hanya tunduk diam sahaja tanpa memberi sebarang respon. Nana kemudiannya berkata kepada ku.  Jurukira itu mengucapkan terima kasih dalam bahasa dusun. Aku pun tersenyum dan membalas dengan ucapan “ sama-sama dan maaf”.

Ulasan:
Budaya setiap bangsa lazimnya berbeza walaupun mempunyai sedikit perbezaan. Perbezaan yang paling ketara ialah daripada aspek bahasa. Setiap bangsa atau kaum mempunyai bahasa pertuturan yang tersendiri. Seseorang individu  harus mengetahui budaya dan bangsa sesebuah kawasan sebelum berpindah ke sesuatu kawasan. Perbezaan ini juga akan mewujudkan kepelbagaian bangsa dan budaya yang menambahkan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk. Atas dasar hormat ini jugalah negara kita dapat dikongsi oleh pelbagai etnik dan kaum tanpa berlakunya peperangan seperti negara luar yang lain. 




Pengaruh Komik

Suatu hari aku meminjam beberapa naskhah  majalah lawak daripada kawanku. Aku berminat membaca majalah itu untuk mengisi masa lapangku. Walaupun itu hanyalah bahan bacaan yang ringan dan bukan berunsur ilmiah tetapi aku menggemarinya kerana boleh mengurangkan tekanan perasaan. Pengisian berunsur lawak membuatkan pembaca tersenyum dan tertawa apabila membacanya.
            Jika diperhatikan daripada sudut linguistik atau penggunaan bahasa dalam komik itu, aku perhatikan terdapat unsur penggunaan bahasa yang tidak baik dan mungkin akan mempengaruhi pembaca dalam kalangan kanak-kanak. Ini kerana, kanak-kanak mudah terpengaruh dengan persekitaran. Antara masalah bahasa yang dapat dikenal pasti dalam penulisan majalah lawak ini ialah :
a) penggunaan bahasa pasar
b) penggunaan bahasa yang berunsur makian atau celaan.


situasi A:
“lagipun, sampai bila lagi ko nak frust cenggini, kamon la wei. Kita lelaki tahap maskulin ni, tak heran kalo takat pompuan camtu. Berlambak lagilah.

Situasi B :
“cilaka punya tuan, suruh aku jadi jaga kawasan perumahan la pulak”


Ulasan :

Pendedahan bahasa yang kurang sihat ini yang melibatkan bahasa pasar, bahasa rojak dan bahasa yang berunsur ejekan akan mempengaruhi cara berbahasa dan pergaulan pembacanya terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa dan guru harus memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada golongan ini supaya tidak terikut-ikut dengan bahasa dalam majalah atau komik tersebut. Ini kerana, bahasa menunjukkan cara hidup atau kebudayaan sesuatu bangsa.

Thursday, January 20, 2011

sistem pesanan ringkas (SMS)




Perubahan rentas zaman menuju arus kemajuan membawa sekali nilai teknologi yang mencakup semua aspek kehidupan mesyarakat. Antara bahan teknologi yang wajib dimiliki oleh masyarakat kini ialah telefon bimbit. Fungsinya sebagai medium komunikasi menjadikan bahan elektronik ini menjadi alatan atau gadget penting. Walaupun pada masa dahulu, telefon bimbit ini lazimnya hanya dimiliki oleh golongan kelas atasan seperti ahli perniagaan, ahli politik dan sebagai tetapi situasi ini tidak lagi berlaku pada masa kini. Segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai hierarki memiliki telefon bimbit ini sebagai suatu keperluan.

            Penggunaan telefon bimbit secara meluas dalam masyarakat telah menyebabkan penyalahgunaan bahasa terutamanya bahasa yang disampaikan melalui medium tulisan. Antara masalah yang saya maksudkan itu ialah penggunaan tulisan singkatan ketika menghantar pesanan ringkas. Saya sertakan situasi untuk mengukuhkan lagi masalah sosiolinguistik yang berlaku ini.

Ketika aku menantikan kawanku di bawah sebatang pokok, aku lihat telefon bimbitku menerima satu mesej daripada kawan yang aku kenali. Aku pun membaca mesej itu. Isi mesej itu berbunyi :

“ai, wtpe 2? Dh mkn?
Aku pun berfikir dalam senyap, beginilah bahasa melayu yang diringkaskan seringkas yang mungkin semata-mata untuk menjimatkan duit topup mereka. Kalau fenomena bahasa ini berleluasa, maka bahasa melayu akan hilang serinya.


Ulasan:
Jika dilihat daripada aspek bahasa, fenomena ini akan membawa kesan negatif terhadap ketamadunan bahasa Melayu itu. Keindahan bahasa tidak dianggap penting lagi kepada masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia umumnya. Penggunaan bahasa dalam bentuk tulisan ringkas ini juga digunakan dalam penulisan karangan dalam kalangan kanak-kanak di sekolah. Semua ini berlaku disebabkan mereka terbiasa dan menganggap bahawa cara penulisan itu tidak salah kerana tiada siapa menegur kesalahan mereka.
            Selain itu, penggunaan kebiasaan penulisan mesej ringkas ini juga menyebabkan sesuatu maklumat yang ingin disampaikan itu tidak dapat difahami oleh penerima. Ini kerana golongan dewasa tidak memahami simbol yang digunakan oleh penghantar mesej itu terutamanya oleh golongan remaja kerana mereka sering menggunakan singkatan yang hanya diketahui oleh golongan mereka sahaja. 

Saturday, January 15, 2011

Assalamualaikum...

Rozie baru mahu berjinak-jinak dengan blog ni. Harap kawan-kawan semua boleh memberi tunjuk ajar kepada rozie untuk menjayakan blog ilmiah yang bakal diisi dengan pelbagai maklumat tentang penggunaan bahasa dalam kehidupan harian kita. semoga berjaya kepada semua kawan-kawanku.