Monday, March 14, 2011

Panjangnya

Kedengaran tajuk entri pada kali ini seakan pelik, tapi percayalah isu bahasa dan budaya yang bakal saya kupas ini ternyata dekat pada diri kita. Apa yang panjang ? mungkinkah seutas tali, seekor ikan Arowana ataupun sebilah pedang samurai Jepun. Semua itu salah, perkara yang saya ingin kaitkan dengan panjang ialah nama orang.

            Dapat diperhatikan sekarang, fenomena meletakkan nama anak yang panjang, berbelit-belit dan sukar untuk disebut sinonim dengan masyarakat Melayu. Bagi mereka nama yang panjang ini membawa kesan keunikan kepada anak tersebut. Mereka berbangga dengan nama-nama itu. kadang kala nama seseorang itu bukan lagi kedengaran seperti nama anak berbangsa Melayu, jika sekali sebut seakan nama ‘Mat Salleh’ pun ada. Mentaliti masyarakat sekarang amat mengagung-agungkan bangsa asing. Mereka tidak mahu meletakkan nama Melayu pada nama anak mereka. Mungkin kerana anggapan bahawa nama itu sudah lapuk dek masa.

            Lihat sahajalah sekarang ini, ada lagikah anak muda yang bernama Melur, Melati ataupun Kenanga? Kalau adapun bilangannya amat sedikit. Kita sudah tidak berminat meletakkan nama anak berdasarkan nama alam yang indah. Alasan yang sering kita dengar ialah “trend nama macam itu hanya laku zaman mak bapa kita dulu saja”. Nama anak muda sekarang selalunya minimum dua patah perkataan. Contohnya Alaisyah Balqis, Rafique Izhan. Tidak kurang juga tiga patah perkataan seperti Nursyakirah Eva Natasyah. Betapa berbelitnya nama, inilah budaya Melayu, mudah terpengaruh dengan unsur luar. Renung-renungkanlah wahai sahabatku.

Kerana Kartun itu… (Shin Chan)

Jika pada entri yang lalu kita berkenalan dengan anime tempatan yang membawa kesan positif dalam perkembangan bahasa dan budaya masyarakat, kini kita akan melihat antonim bagi anime itu. kartun yang saya maksudkan ialah kartun Shin Chan. Shin Chan adalah anime yang berasal dari negara luar namun disebabkan sambutan yang hangat di negara kita, maka berlakulah aktiviti mengalih bahasa ke bahasa Melayu untuk mudah difahami oleh khalayak umum.

            Saya tidak memahami tujuan anime ini dicipta kerana tidak terdapat nilai didaktik atau pengajaran yang baik yang ditonjolkan. Mungkin kerana penciptanya hanya melihat daripada aspek keuntungan semata ataupun sekadar hiburan ringan kepada khalayak umum. Sifat perjalanan cerita yang ditonjolkan yang berunsur humor membuatkan semua orang bergembira tetapi disebalik kegembiraan itu terselit satu fenomena yang tidak baik. Shin Chan ialah anime yang ditujukan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan media yang mereka lihat. Dalam cerita ini, banyak budaya atau perbuatan yang tidak baik dimasukkan. Antaranya :
·         Penggunaan bahasa kesat
·         Perwatakan pelajar dan anak yang pemalas dan suka melawan cakap ibu bapa.
·         Anak yang suka menimbulkan masalah
Kanak-kanak yang menggemari kartun ini, tidak mustahil akan meniru perlakuan negatif yang ditunjukkan dalam cerita itu. Budaya ini akan merosakkan jati diri Melayu yang sejati. Jati diri yang berlandaskan ajaran agama Islam yang mementingkan budi pekerti mulia.

Pengaruh Upin-Ipin

Dalam kepekatan malam, jemariku liat memulakan bicara. Mungkin kerana jiwanya ku kini sudah terbang ke kampung halaman. Mengimbau saat indah bersama keluarga. Saat ini aku terkenang peristiwa manis ketika puasa. Sudah tiga tahun aku tidak menyambut bulan ramadhan bersama keluarga. Hari ini, entri perbincangan bahasa bukan berkaitan dengan kenangan puasa kerana ia tiada kaitan dengan bahasa, tetapi berkaitan dengan anime kartun Upin dan Ipin.

            Kewujudan anime ini di mata masyarakat bermula ketika musim bulan Ramadhan. Disebabkan itulah aku terbayangkan kenangan puasa sebagai anak perantauan. Rasa bangga menusuk di jiwa kerana adanya kartun yang menggambarkan adat budaya Melayu. Pengaruh cerita Upin dan Ipin ini sangat baik membentuk jati diri kanak-kanak Melayu. Selain itu, cerita ini juga dapat mengimbau kembali peristiwa puasa dan raya di kampung-kampung yang sudah mula luntur budaya bantu-membantu antara masyarakat bagi memeriahkan bulan Ramadhan.

            Andai diperhatikan daripada sudut bahasa, pemilihan bahasa yang banyak menyelitkan unsur nasihat dan agama menjadi pedoman kepada masyarakat. Mesej yang ingin disampaikan sangat jelas. Generasi baru terutamanya kanak-kanak menggemari kartun, melalui medium ini maka identity kanak-kanak daripada aspek percakapan dan perlakuan dapat dibentuk dengan cara yang betul.
Antara kebaikan kelahiran Upin Ipin :
·         Penggunaan bahasa yang baik
·         Menyelitkan doa-doa harian sebagai panduan kepada penonton
·         Mengandungi unsur nasihat dan pembelajaran tentang agama secara tidak langsung melalui watak nenek.

Arahan atau Iklan ?

Kadang-kala saya berasa keliru dengan arahan atau pernyataan yang dipaparkan di papan-papan iklan. Adakah mereka tidak mengkaji tentang penggunaan bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum mengiklankan bahan? mereka tidak terfikirkah bahawa ramai orang yang akan membaca iklan tersebut?. Jawapan bagi persoalan itu sukar untuk saya jawab kerana diri bukanlah pihak pengiklan.

            Berdasarkan pemerhatian saya, kadang kala  terdapat kesalahan ketara yang dilakukan oleh pihak ini. Antara kesilapan yang biasa dilakukan ialah kesalahan menaip perkataan, mencampuradukkan bahasa dan juga kesalahan tanda baca. Kesalahan yang dianggap kecil oleh pihak tertentu ini akan membawa kesan yang ketara kepada generasi muda. Mereka akan keliru tentang penggunaan bahasa yang betul. Tambahan pula, akan berlaku kekeliruan dalam kalangan pelanggan.

            Peristiwa yang sama pernah berlaku pada diri saya sendiri. Kejadian ini berlaku pada tarikh 12 Mac 2011, ketika itu saya tengah menemankan seorang kawan untuk mencetak tugasannya. Saya mengesan kesalahan bahasa yang digunakan oleh pihak kedai komputer itu, mereka melekatkan sehelai kertas arahan kepada pelanggannya. Saya keliru dan sukar bagi saya mentafsir makna disebalik arahan itu. Mereka menggunakan bahasa rojak iaitu menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Penggunaan perkataan “admin” mengelirukan pelanggan. Bagi saya, sukar sangatkah meletakkan istilah pengurus atau pengawas yang bertugas?. 

Penjodoh Bilangan Melayu

Pada pertemuan kali ini, saya akan membawa pembaca menyelusuri kisah bahasa dan budaya Melayu. Kita akan mengambil tahu tentang cara masyarakat Melayu meletakkan kelompok penghitungan dalam bahasa seharian mereka. Terdapat beberapa perkataan yang merujuk penjodoh bilangan bagi kelompok kata nama yang tertentu. Sering kali kita mengesan kesalahan penggunaan penjodoh bilangan bagi beberapa perkataan tertentu tetapi sebelum itu, baiklah kita berkenalan dengan kata bilangan ini terlebih dahulu.

Masyarakat Melayu menggunakan penjodoh bilangan bagi tujuan menghitung sesuatu sama ada benda itu merupakan manusia, haiwan atau benda-benda tak bernyawa. Menurut Asmah Haji Omar dalam Nahu Kemas Kini, penjodoh bilangan dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga subsistem iaitu penjodoh bilangan manusia, penjodoh bilangan haiwan dan penjodoh bilangan benda-benda tak bernyawa. Antara kekeliruan penggunaan penjodoh bilangan yang selalu digunakan oleh masyarakat Malaysia.
Penjodoh Bilangan
Benda- benda
Biji, butir
Benda-benda kecil
Lembar
kertas
Buah
Benda-benda besar
Gumpal
Ketulan yang lembut seperti darah, bulu kambing
Kesalahan yang sering dilakukan oleh penutur bahasa Melayu dalam meletakkan penjodoh bilangan bagi kata nama tertentu disebabkan oleh kekeliruan dan kebiasaan yang salah dalam perbualan seharian. Contoh kesalahan tersebut ialah sebiji kereta, sehelai kertas dan sebuah percintaan.

Pernah juga saya terdengar kesilapan penggunaan penjodoh bilangan ini. Kekeliruan ini bukan sahaja berlaku kepada golongan muda, malahan berlaku pda golongan dewasa. Perkara ini mungkin disebabkan tanggapan mereka bahawa penjodoh bilangan ini bukanlah suatu yang penting dan mudah.

            A :  Wahh…. tengok sebiji kereta di seberang jalan tu. Cantik kan?
            B : A’ah la, cantik dan mewah. Kalau aku dah kerja nanti, aku mahu beli sebiji juga la.
            A: kalau kau mau beli sebiji, aku mau beli berbiji-biji. Hahahaha. 

Bahasa Membodek

Assalamualaikum,
Hari ini saya bakal berkongsi penggunaan bahasa yang sering digunakan bagi membodek orang. Bodek bermaksud memuji-muji seseorang atas tujuan tertentu. Tujuan yang dimaksudkan itu lazimnya untuk mendapatkan faedah daripada seseorang yang dianggap berpengaruh bagi kesenangan dirinya. Kebanyakan orang tidak suka perangai negatif ini kerana seseorang yang pandai bermulut manis, mudah mencairkan jiwa mangsanya bagi mendapatkan perkara yang diingininya tanpa melakukan banyak kerja.

            Kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa di universiti telah mengajar erti kehidupan. Pelbagai tingkah laku manusia dapat diperhatikan sepanjang belajar. Pernah suatu hari saya pernah terlihat kejadian ini. Semoga sahabat yang lain tidak menggunakan cara ini untuk mengambil hati pensyarah kerana pencapaian kita seharusnya berdasarkan usaha diri sendiri.

Masih teringat sewaktu berada di sekolah, pada waktu petang aku sedang berbual kosong dengan rakan serumahku. Pelbagai isu yang dibincangkan antaranya ialah perangai pelajar bermulut manis. Pelajar ini sering berjumpa dengan guru mata pelajarannya. Bukan atas tujuan berbincang tentang tugasan tetapi memujuk guru tersebut untuk membocorkan soalan peperiksaan. Patutlah setiap peperiksaan dia akan mendapat markah yang tinggi, rupanya dia menggunakan cara yang salah itu. Aku pernah terdengar dia memujuk seorang guru lelaki muda di sekolahku. Tambahan pula, dia menggunakan aset kecantikannya untuk menakluki jiwa cikgu itu.
            Pelajar             : Cikgu hensemlah hari ini.
                                   Cikgu             : Iya ka? Terima kasih. Awak ni pelajar yang baiklah. Sentiasa peka dengan guru di sekolah ini.
            Pelajar             : Mestilah, cikgukan baik orangnya. Terutamanya dengan saya.
            Cikgu              : Oleh sebab kamu seorang pelajar yang baik, cikgu akan ambil kamu   sebagai adik angkat cikgu.
Itulah antara kata-kata manis yang diungkap oleh orang lain bagi mendapatkan perkara yang dihajati oleh mereka. Lazimnya perkara ini juga sering berlaku di pejabat-pejabat kerana bahasa pemujukan boleh melembutkan hati orang lain walaupun dengan niat yang tidak baik.

Dengar itu

Noraniza Idris (Eddie Hamid / ND Lala)

Hala Timur 


( 1 )
(Come demo ghoya' come
Pute jange ghoya' ite
Dari dio kito date
Pado dio kito pule)

( 2 )
Come demo ghoya' come
Pute jange ghoya' ite
Atah namo kebenare
Biar pait keno tele

( 3 )
Dari dio kito date weh
Pado dio kito pule
Dio tak suruh benci oghe
Jange kito kecek sumbe

Masakan anak tangga lebih dari lantai rumah
Ada yang tak kena tegurlah dengan berhemah
Carilah kita fikir dalam jaga dalam tidur
Bukan sekadar berdikir dalam indah hala timur
( ulang 2 & 3 )

( ulang 1 )

( 4 )
Hai langit luar terbentang di mana tegak tiangnya
( Fikirkanlah)
Hai siang bertukar malam siapa yang mengaturnya
( Fikirkanlah)

Lihat ikan di sungai dan di lautan
Entah bilakah tidurnya
Lihat burung yang boleh terbang ke awan
Entah apalah sebabnya

( ulang 4 )

Bulan bintang di mana punca cahaya
Siapa menentukannya
Di dunia ini kita dilahirkan
Entah bila pula perginya

( ulang 2 & 3 )

(Kita cari kita fikir
Dalam jaga dalam tidur
Bukan sekadar berfikir)

Kalu gitu gak, hala timurlah awe weh
(Yolah...)


Lirik lagu di atas mempunyai kelainan sedikit berbanding dengan lagu-lagu irama Malaysia yang lain. Identiti Malaysia yang mempunyai pelbagai bahasa dan juga dialek diperkenalkan pada lagu ini. Pada permulaan lagu, penulis lirik menggunakan dialek atau loghat Kelantan. Loghat Kelantan pada pandangan saya, mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Cara penyebutan bagi sesetengah perkataan dalam dialek Kelantan unik dan sukar bagi masyarakat Melayu daripada dialek lain untuk menyebutnya dalam masa yang singkat.

            Jika diperhatikan daripada aspek akademik, pengertian dialek ialah satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi bentuk sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Lazimnya dialek ini berlaku disebabkan beberapa faktor iaitu pemisahan tempat, berlainan pengalaman dan berlainan pengaruh luar. Kehadiran dialek dalam masyarakat melahirkan kepelbagaian bahasa. Walaupun semua dialek itu berasal daripada induk bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu tetapi cara penyebutan yang berlainan membezakannya. Jika dianalisis dialek negeri Kelantan pada lagu di atas, kita akan lihat perbezaan yang jelas. Contohnya :
Ghoya’              : Cakap
Demo                : Awak
Ite                    : Hitam
Tele                  : Telan