Monday, February 28, 2011

Nasib Si Peminta sedekah

Ketika aku sedang makan bersama keluarga di gerai makan Tawau, tiba-tiba seorang pengemis tua datang dan menghulurkan tangan untuk menagih simpati. Ayahku menghulurkan wang RM 2 kepada pengemis itu. Mungkin pengemis itu kelaparan kerana melihat daripada tingkahnya yang memegang perut membuatkan aku beranggapan sedemikan. Ayahku berkata kebanyakan pengemis di Tawau ialah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berasal dari Filipina. Mereka hidup melarat kerana tidak diterima kerja di Sabah kerana tidak mempunyai passport yang sah.

            Setelah pengemis itu menerima duit ayah, dia pun tersenyum dan beralih ke meja pelanggan yang lain. Kelihatan sepasang pemuda sedang menjamu selera di sana. Kedatangan pengemis itu tidak disenangi oleh mereka. Mereka pun mengeluarkan kata-kata kesat bagi menghalau pengemis itu. Tauke gerai makan yang melihat kejadian itu datang dan menghalau pengemis itu keluar daripada gerainya kerana takut pelanggannya merungut. Kata-kata seperti sampah, orang busuk dan jahanam keluar daripada mulut tauke itu. penggunaan bahasa seperti itu menunjukkan imej dan perwatakan tauke itu sebagai seorang yang mempunyai sikap negatif.

            Sepatutnya mereka boleh menggunakan bahasa yang lebih baik. Walaupun mereka marah dengan pelakuan si pengemis itu tetapi mereka harus menjaga budaya bahasa Melayu yang berbudi perkerti dan bersopan santun kerana pengemis itu juga seorang manusia biasa. Budaya kesantunan itu harus diamalkan kepada setiap golongan masyarakat tanpa mengira pangkat dan agama. 

Seindah Irama

Saya seorang yang amat gemar mendengar radio. Malahan aktiviti itu sudah menjadi rutin dan salah satu hobi selain daripada memelihara kucing. Sewaktu malam yang sunyi dan agak membosankan, saya akan memasang radio dan melayan lagu. Juruhebah yang bertugas biasanya seorang yang petah berkata-kata dan dapat menghiburkan pendengar kerana itu adalah aset penting bagi menarik pendengar. Namun kadang kala juruhebah tidak mengutamakan penggunaan bahasa ketika mengendalikan rancangan. Pelbagai bahasa rojak yang digunakan. Mungkin mereka lebih selesa menggunakan bahasa sedemikian atas alasan pendengar lebih suka mendengar bahasa yang bersahaja dan tidak terlalu skema. Seindah Irama

            Namun, mereka harus ingat bahawa mereka adalah penyebar bahasa dan budaya Melayu. Oleh itu penggunaan bahasa yang sesuai harus diutamakan. Pernah suatu malam, saya terdengar juruhebah sebuah stesen radio menggunakan perkataan “Steady-Meady”. Saya terfikir apa yang juruhebah itu maksudkan. Ternyata perkataan Meady itu tidak terdapat dalam kamus bahasa Melayu dan Inggeris. Saya beranggapan bahawa bahasa itu muncul sendiri dan hasil gabungan bahasa Inggeris dan kesedapan bunyi. Tapi malangnya perkara ini akan merosakkan bahasa. Sekiranya kita ingin bertutur dalam bahasa Inggeris, bertuturlah sepenuhnya dalam bahasa itu. Janganlah digabung dengan bahasa-bahasa yang lain. Cara itu akan mengucar-kacirkan sistem sesuatu bahasa. Contoh lain ialah penggunaan perkataan :
1) Suka-Suki
2) Cintan-Cintun

Dia Nenekku

Banyak perkara yang saya belajar ketika bercuti di Ranau, Sabah bersama sahabatku, Nana. Dua budaya yang berbeza bertembung. Budaya masyarakat yang hidup di kawasan bukit dan menyara hidup dengan bertani amat berbeza dengan budaya hidup saya iaitu budaya masyarakat yang tinggal di kawasan laut dan melakukan aktiviti perikanan. Itu jika dilihat daripada aspek corak hidup, tapi jika dilihat daripada sudut budaya dan bahasa memang amat jauh bezanya.


            Kedatangan saya di Kampung Nana disambut mesra oleh keluarganya. Pada mulanya, rasa agak kekok sedikit tapi dalam masa sehari, saya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana. Nana memperkenalkan neneknya yang sudah berusia 104 tahun. Rasa kagum menyelinap di hati melihat keadaan neneknya itu. Walaupun sudah lanjut usia tapi fizikalnya masih kuat. Namun, ada satu masalah yang dihadapi oleh nenek itu. Beliau tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu. Komunikasi masyarakat di sana menggunakan bahasa peribumi mereka iaitu bahasa Dusun sebagai bahasa pengantar utama tetapi majoriti daripada mereka fasih menggunakan bahasa Melayu. Hanya golongan berusia sahaja yang tidak dapat bertutur menggunakan bahasa Melayu.

            Nana menjadi jurualih bahasa ketika saya dan neneknya sedang berbual. Pada pendapat saya keadaan ini berlaku kerana neneknya tidak terdedah secara luas dengan bahasa Melayu dan penggunaan bahasa Dusun sebagai bahasa mengantar utama antara kaum di sana mendorong neneknya untuk tidak belajar bahasa Melayu. Beliau mungkin akan berhadapan dengan masalah jika keluar daripada komunitinya. Usia neneknya yang sudah mencecah angka 100 tahun juga menjadi penyebab baginya tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu.

            Pembentukan Malaysia berlaku pada tahun 16 Mei 1963, pada ketika itu neneknya sudah pun berusia. Maka sukarlah baginya untuk menerima bahasa asing sebagai bahasa pertuturan kerana sudah terbiasa dengan bahasa natif kaum mereka. Sekiranya kita ingin anak kita mudah mempelajari sesuatu bahasa, maka dedahkan mereka dengan bahasa asing itu. mengaplikasikan sesuatu dalam hidup akan meningkatkan tahap pemahaman dan penerimaan manusia.

Permainan Kami

Cuti semester yang lalu, saya berkunjung ke rumah keluarga di kampung. Saya berasa amat gembira kerana dapat berjumpa dan bermesra dengan nenek. Kedudukan kampung halaman dengan rumah yang jauh menjadi faktor penghalang kepada kami untuk selalu berkunjung ke kampung. Bayangkan, perjalanan ke kampung dengan menaiki bas akan mengambil masa 13 jam. Suasana zaman kanak-kanak yang menggembirakan selalu bermain di dalam benak fikiran. Dulu sebelum ayah mendapat pekerjaan di Tawau, kami tinggal di rumah nenek. Sepupu datang setiap hari ke rumah nenek dan kami akan bermain bersama-sama. Kami akan bermain pelbagai permainan tradisional bersama-sama. Antaranya ialah permainan teng-teng, baling selipar, kobat, main lompat getah dan main polis-pencuri. Suasana kampung itu  hidup dan meriah dengan gelak tawa dan marah bebel nenek pada waktu itu.

            Tapi apabila saya perhatikan sekarang, kanak-kanak sudah mula kehilangan identiti bangsanya. Mereka lebih berminat untuk duduk menonton televisyen di rumah ataupun bermain permainan Playstation dengan kawan-kawan yang lain. Pengaruh teknologi membuatkan anak bangsa kita malas dan tidak aktif pada zaman kecilnya. Apabila umur mereka mula beranjak naik, tidak akan ada kenangan indah yang dapat dikongsi bersama anak cucu mereka. Pengaruh luar telah membentuk diri sehingga nilai tradisional dipinggirkan. Mereka sudah tidak mengenali permainan tradisional lagi. mereka hanya akan mengetahui info atau maklumat tentangnya di muzium-muzium budaya Melayu sahaja.

            Alangkah sayang sekali jika perkara ini dibiarkan berlaku. Kemajuan teknologi seharusnya membawa kebaikan kepada sesebuah bangsa tetapi kehadirannya juga akan membawa kesan kontra. Renungkanlah wahai bangsaku, jangan biarkan budaya lama menjadi bahan pinggiran yang tidak bernilai.

Wednesday, February 23, 2011

Kayanya kita

Baru saya sedar betapa kayanya kita. Kaya yang abstrak bentuknya. Bukan hanya kaya harta tetapi kaya budi pekertinya, kaya bahasanya dan kaya dengan unsur nasihat dalam membentuk generasi yang berguna untuk negara. Salah satu kekayaan kita itu dapat dilihat daripada khazanah sastera asli Melayu iaitu pantun. Harun Mat Piah (1989), memberikan definisi berdasarkan aspek dalaman dan luaran. Aspek dalaman mewakili unsur estetika pantun meliputi unsur estetika dan isi. Pantun menjadi wadah pengantara masyarakat Melayu dahulu menyampaikan pesanan kepada generasinya pada masa kini. Mereka sangat berpegang pada adat ketimuran dan keislaman. Pesan-memesan dan nasihat-menasihati menjadi tanggungjawab bagi memastikan masyarakat mereka tidak melupakan asal usul. Kita perhatikan pantun di bawah ini:

Limau purut di tepi rawa,
Buah diletak di atas papan,
Jangan diri dapat kecewa,
Lihat contoh kiri dan kanan.

Kayu bakar dibuat arang,
            Arang dibakar memanaskan diri,
Jangan mudah salahkan orang,
            Cermin muka lihat sendiri.

Kedua-dua pantun diatas, mengandungi pesanan orang tua dan dijadikan panduan supaya masyarakatnya tidak lupa budaya berbudi bahasa. Kebudayaan Melayu jelas tergambar pada karya sasteranya antaranya pantun ini. Marilah bersama kita nilai budaya diri sekarang dengan budaya sebenar masyarakat Melayu masa dahulu. Kita boleh jadikan pantun sebagai rujukan dan panduan membentuk jati diri Melayu yang sebenar kerana pantun dihasilkan oleh nenek moyang Melayu.

Bahasa yang digunakan bagi menghasilkan pantun juga mengandungi unsur estetika yang tinggi. Pemilihan perkataan yang indah ini menunjukkan Melayu adalah bangsa yang mengutamakan bahasa yang baik. Bahasa yang dapat menyejukkan jiwa sesiapa yang membaca dan mendengarnya. Lazimnya, pantun sering memasukkan unsur alam seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang. Betapa eratnya hubungan alam dalam kehidupan masyarakat Melayu pada masa dahulu. Oleh itu, kita sebagai generasi baru harus tahu menghargai alam dan memanfaatkan sumber alam dengan sebaik mungkin. Betapa banyaknya pesanan yang terangkum dalam pantun. Terpulang kepada kita untuk mencerna maklumat untuk dijadikan panduan dan maklumat bagi kebaikan bangsa.

Kamus Bahasa

Ketika aku sedang menaip tugasan, secara kebetulan terlintas satu idea tentang bahasa. Kenapa tidak setiap bahasa mempunyai kamus bahasa mereka tersendiri?. Pelbagai suku kaum yang berkongsi hidup dalam negara majmuk ini. Pengetahuan tentang bahasa menjadi wahana penyatuan antara kaum. Kamus boleh digunakan sebagai bahan rujukan yang sangat berguna kepada seseorang yang ingin mengetahui bahasa sesebuah kaum.
           Saya adalah peribumi Sabah yang berketurunan Bisaya. Suatu hari, rakan serumah terlihat sesuatu pada ruangan perbualan dalam Facebook. Pada ruangan itu tertera kumpulan budak bisaya sejati. Dalam kumpulan itu, semua ahlinya terdiri daripada ahli Facebook yang berketurunan Bisaya. Mereka akan berbual menggunakan bahasa Bisaya. Diriku yang terhasil daripada perkahwinan campur tidak mempunyai asas bahasa Bisaya yang utuh kerana di rumahku kami menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian. Cemburu menguasai diri kerana kecetekan ilmu tentang bahasa kaum sendiri. Maka terlintaslah di fikiran supaya menyarankan mereka menghasilkan kamus bahasa untuk memudahkan rujukan.
            Namun malangnya, masalah ekonomi menyukarkan usaha itu dilaksanakan. Persatuan kaum kami memang telah mencetak kamus bahasa Bisaya-Melayu tapi menyebarannya agak terhad kerana bajet kewangan yang kecil. Kamus bahasa kaum-kaum bumiputera sukar ditemui di tempat-tempat awam seperti perpustakaan jika dibandingkan dengan kamus Bahasa Inggeris. Andai tiada pihak yang berusaha untuk membangunkan bahasa asli kaum mereka, tidak hairanlah jika cucu cicit mereka tidak akan mengetahui bahasa jati diri dan bahasa itu akan pupus ditelan arus zaman.
Contoh :
Muli                 : Balik
Modop            : Tidur
Kuyuk             : Anjing
Jajal                 : Nakal

Wednesday, February 9, 2011

Lembutnya Lidah


Seandaikan penutur itu bijak menggunakan perkataan atau ayat yang baik, maka dia akan dapat membuatkan situasi komunikasi harmoni dan tenang. Pemilihan kata yang bersesuaian berdasarkan situasi akan membuatkan seseorang itu dipandang tinggi dalam masyarakat. Andai si penutur berada dalam situasi pergaduhan, dengan menggunakan kata-kata pujukan yang bersesuaian akan membuatkan hati yang panas menjadi sesejuk salju dan membawa kepada jalan penyelesaian. Masyarakat harus membiasakan diri menggunakan bahasa yang berunsur positif kerana bahasa memainkan peranan penting bagi mewujudkan suasana persekitaran yang damai. Jika masyarakat menggunakan bahasa yang kasar, timbal balik yang tercipta akan mewujudkan suasana yang tidak tenteram. Sebagai contoh bagi menguatkan huraian tadi, dapat dikongsikan seperti dibawah.

        Sepasang sahabat yang telah lama berkenalan pada suatu hari bertengkar disebabkan hal yang kecil. Mereka saling memaki dan memburukkan antara satu sama lain. Hubungan persahabatan yang lama terikat terungkai disebabkan masalah itu. Pertengkaran itu diperhatikan oleh seorang guru. Guru itu datang ke arah mereka dan berkata dengan lembut dan menunjukkan riak wajah yang tenang. Akhirnya mereka berdua pun bermaafan dan berterima kasih dengan guru tersebut.

Ulasan   : Bahasa yang indah menunjukkan peribadi dalaman seseorang penutur. Pilihlah menggunakan bahasa yang indah ketika bertutur dengan seseorang. Ini kerana, bahasa yang positif akan mewujudkan persekitaran yang positif.