Wednesday, March 16, 2011

Sari Kata

Salam Pertemuan…
Walaupun dalam minggu ini saya terpaksa menyiapkan pelbagai tugasan tetapi otak perlu direhatkan sebentar. Cara yang saya gunakan bagi merehatkan otak ialah menonton filem di komputer riba bersama rakan sebilik. Saya suka menonton cerita yang berunsur fantasi dan menggembirakan seperti kartun, anime Jepun dan cerita pengembaraan. Saya akan berasa tenang apabila dapat menonton filem.

            Dalam kegembiraan itu, kadang kala emosi saya terganggu, bukan disebabkan oleh jalan cerita yang penuh emosi tetapi disebabkan penggunaan perkataan pada sari kata sesebuah filem. Lazimnya filem berbahasa asing seperti Inggeris, Jepun dan India akan disertai sari kata bagi memudahkan penonton untuk memahami bait kata yang diujarkan oleh pelakon. Malangnya saya mendapati selalunya dalam sari kata itu terlalu banyak kesalahan bahasa. Kesalahan ejaan dan penyusunan ayat antara kesilapan yang lazim dilakukan. Saya sering tertanya-tanya kenapa perkara itu berlaku. Pelbagai andaian yang terlintas di minda ini. antaranya:
  • Adakah si penulis sari kata tidak mahir berbahasa Melayu?
  • Siapakah yang menulis sari kata itu?
  •   Adakah dia tidak menyedari kesalahan bahasa yang dilakukannya?
  • Apakah kriteria yang harus dimiliki oleh si penulis sari kata yang melayakkan dia menulis sari kata?


Tujuan persoalan itu diujarkan ialah untuk mengenal pasti punca kesalahan bahasa dalam filem asing. Ini kerana, ramai penonton yang akan bergantung pada sari kata tersebut. Kemungkinan besar disebabkan oleh kesilapan ini, akan menyebabkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan masyarakat dalam penggunaan bahasa yang sebenar. Tambahan  pula jika yang menontonnya ialah golongan kanak-kanak. 

Colgate

Assalamualaikum…
Dalam pertemuan yang sekian kalinya kini, saya ingin berkongsi pengalaman yang saya alami sebagai seorang manusia biasa. Kebiasaan kadang kala penyebab penyakit. Jika dianalogikan, seorang yang selalu makan makanan yang mengandungi kandungan glukosa atau gula yang tinggi akan mengalami kesukaran untuk membuang tabiatnya itu walaupun tahu risiko penyakit yang dihadapinya. Begitu jugalah halnya dengan masalah bahasa dalam kalangan masyarakat.

            Teringat ketika saya berada di kampung dahulu, ibu berpesan supaya membeli Colgate. Apabila tiba di kedai runcit, saya mendapati tiada ubat gigi jenama Colgate. Oleh sebab ibu berpesan untuk membeli Colgate dan barang itu tidak ada di kedai, saya pun memutuskan untuk kembali ke rumah. Setiba di rumah, ibu memarahi saya kerana tidak membeli Colgate. Saya pun menerangkan kefahaman tentang arahan ibu tadi. Rupanya, ibu berpesan untuk membeli ubat gigi dan tidak kisah tentang jenama. Oleh kerana kebiasaan menganalogikan ubat gigi dengan jenama Colgate, maka berlakulah perselisihan faham sedikit.

            Perkara yang sama juga sering berlaku dengan perkataan Maggi. Walhal perkara yang dimaksudkan ialah mee segera. Marilah kita menggunakan bahasa yang betul dan memahami makna jenama barang agar kekeliruan dapat dielakkan.

Tulisan Jawi

Assalamualaikum dan salam sejahtera…
Seperti yang kita sedia maklum, tulisan yang kita gunakan sebelum tulisan rumi ialah tulisan jawi. Tulisan yang berasal daripada aksara bahasa Arab tetapi diubah dan ditambah sedikit hurufnya bagi menepati fonetik masyarakat Melayu yang berbeza dengan masyarakat Arab. Namun, semenjak kedatangan penjajah Barat ke Tanah Melayu, tulisan rumi telah dijadikan tulisan dalam segala bentuk aktiviti pentadbiran dan pendidikan di Tanah Melayu. Maka fungsi tulisan jawi pun beralih arah kepada tulisan rumi.

            Pernah saya berbincang dengan kawan sebilik sewaktu ada kelapangan tentang tulisan jawi ini. Beliau menyatakan dia tidak lancar sangat menulis dalam tulisan jawi. Saya juga mengakui bahawa mempunyai kekurangan yang sama. Ini kerana semenjak mengenal buku, saya hanya menggunakan tulisan rumi dan hanya belajar tulisan jawi ketika belajar di Sekolah Agama Rakyat. Oleh itu, penguasaan jawi saya adalah kurang.

            Kawan sebilik saya berkongsi cerita tentang datuknya yang sudah berusia 70 tahun. Atuknya amat lancar membaca dan menulis dalam tulisan jawi tetapi ejaan perkataan itu menggunakan ialah menggunakan ejaan kosa kata lama. Dia pernah menunjukkan sehelai manuskrip jawi lama kepada atuknya dan ternyata atuknya boleh memahami perkara yang tertulis pada kertas itu. Masyarakat Melayu masa kini terutamanya golongan muda kebanyakkan sudah tidak tahu menulis dan membaca tulisan jawi lagi. Andai fenomena ini berterusan, maka pupuslah satu lagi nilai budaya bahasa Melayu. Bersamalah kita memelihara harta yang bernilai ini. 

Kesalahan Ejaan

Salam pertemuan untuk ke-32 kalinya…
Pada entri kali ini pula, saya ingin berkongsi ilmu tentang bahasa. Suatu kesalahan yang berterusan seandainya tidak ditegur oleh seseorang akan menyebabkan dia sesat dalam jangka masa panjang. Ini kerana kadang kala orang yang melakukan kesalahan itu tidak mengetahui bahawa dia melakukan kesalahan. Menyedarkan kesalahan seseorang itu adalah antara tugas yang bakal dipikul oleh guru apabila berhadapan dengan murid. Tambahan pula, sekiranya guru itu adalah guru bahasa Melayu yang menggalakkan penggunaan bahasa yang betul. Malu kiranya guru bahasa itu sendiri melakukan kesalahan.

            Kesalahan yang bakal kita kupas pada hari ini ialah kesalahan dalam aspek ejaan. Dalam pengajaran bahasa Melayu aspek ejaan penting dan banyak dinilai. Antaranya dalam menjawab soalan pemahaman, membina ayat dan juga membuat karangan. Guru pasti akan dapat mengenal pasti kesalahan ejaan yang sering dilakukan oleh pelajar. Antara ejaan yang mengelirukan pelajar ialah:

Ejaan betul
Ejaan Salah
rangsangan
ransangan
kaunter
kuanter
motosikal
motorsikal
Sama ada
samada
           





            Pendedahan yang banyak tentang ejaan yang betul adalah salah satu cara bagi menangani masalah. Pada pendapat saya, guru boleh melakukan kuiz mengeja perkataan yang sukar dan mengelirukan setiap waktu kelas. Tambahan pula, aktiviti ini tidak memakan masa yang panjang dan membawa faedah yang banyak kepada pelajar.

Ceteknya Ilmuku


Hari ini ialah hari Isnin bersamaan dengan 14 Mac 2011, setelah selesai menghadiri kelas Keterampilan Penulis di Dewan Kuliah A, saya dan kawan yang lain membawa diri menuju ke perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hajat dihati meminjam buku berkaitan peribahasa. Setelah niat dicapai, kami pun pulang ke kolej kediaman masing-masing bagi merehatkan diri dan menenangkan fikiran setelah seharian berada di dewan kuliah.

            Saya pun membelek-belek buku Koleksi Terindah Peribahasa Melayu hasil karya Ainon Mohd dan Abdullah Hassan. Dalam buku tersebut mengandungi 3,500 peribahasa Melayu yang dianggap terindah daripada sudut makna dan bentuk. Kebanyakkan peribahasa ini jarang saya dengar dan ada yang saya tidak ketahui sama sekali kewujudannya. Ini kerana, di peringkat sekolah sama ada sekolah menengah dan sekolah rendah hanya menggunakan peribahasa yang lazim dan mudah untuk diingati oleh pelajar. Antaranya ialah seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi, umpama anjing dengan bayang-bayang dan harapkan pagar, pagar makan padi.

            Pengetahuan saya tentang peribahasa Melayu amat terhad, padahal melalui peribahasa inilah kita dapat melihat dan menilai erti kehidupan masyarakat Melayu masa dahulu. Bangsa Melayu yang masih teguh berpegang dengan adat ketimuran dan bersendikan syarak. Peribahasa terbentuk daripada kerangka kehidupan masyarakat Melayu yang memaparkan kegiatan ekonomi, perniagaan, hidup bermasyarakat dan juga unsur alam seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan. Ingin saya berkongsi antara peribahasa yang baru diketahui sewaktu membaca buku tersebut.
a) Ibarat orang kenyang, jikalau dijamu dengan lauk yang sedap sekalipun, berkata tawar juga
Maksudnya : pemberian kepada orang yang tidak memerlukannya tetap tidak dihargai.
b) Sayangkan garam sececah, rosak kerbau seekor
Maksudnya : takut rugi sedikit, langsung rugi banyak.

            Itulah antara contoh peribahasa yang jarang kita gunakan dalam kehidupan seharian. Marilah kita bersama-sama membudayakan amalan membaca, agar pengetahuan yang cetek dapat diluaskan lagi.

Monday, March 14, 2011

Terima Kasih

Budaya menghormati yang tua dan mengasihi yang muda kelihatan masih menebal dalam kalangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya berani menyatakan sedemikian berdasarkan pemerhatian deria pandangku yang sedikit peka. Sepanjang pengajian di sini, saya dapat lihat budaya mengucapkan terima kasih diamalkan dengan baik. Ucapan itu bukan sahaja diberikan kepada pensyarah yang mengajar tetapi juga kepada pemandu bas.

            Ungkapan itu bertujuan untuk memberi penghargaan kepada mereka yang menabur jasa kepada diri kita. Ucapan ini dapat mengurangkan rasa ego dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara komuniti. Ungkapan ini seharusnya diterapkan dalam diri setiap golongan masyarakat kerana perlakuan ini membawa  nilai rasa yang positif dan tidak membawa maksud negatif yang baik diamalkan dalam masyarakat.

            Dalam diri ini, saya berasa bangga dapat mengenali kawan-kawan yang mengamalkan mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah membantu mereka. Walaupun pelbagai variasi ungkapan terima kasih yang terungkap dalam pelbagai bahasa tetapi fungsinya tetap sama. Tidak mengira agama dan bangsa ia membawa konotasi yang baik. Baik kepada si pemberi dan juga kepada si penerima.

Bahasa Rahsia

Jika merujuk kepada nota kuliah yang diberikan oleh Dr.Siti Saniah, bahasa rahsia merujuk kepada bahasa yang digunakan bagi tujuan perisikan, pengedaran dadah dan lain-lain. Bahasa rahsia ini memang sengaja dibuat sedemikian supaya dapat disimpan kerahsiaan kegiatan mereka. Berdasarkan maksud tersebut, bolehlah kita katakan bahasa rahsia diwujudkan oleh golongan tertentu supaya masyarakat umum tidak memahami makna disebalik bahasa yang digunakan.

            Teringat pula peristiwa ketika saya masih menuntut di tahun enam pada tahun 2000. Waktu itu, kawan-kawan semua sibuk menghafal bahasa rahsia dan tulisan rahsia mereka. Padahal bahasa rahsia itu amat mudah untuk difahami kerana hanya menambahkan suku kata “pa” di belakang setiap suku kata. Fungsinya adalah sekadar hiburan sahaja supaya golongan yang lebih tua tidak memahami apa yang dibincangkan. Contoh ayat:

Kamu mahu ke mana?
Kapamupu mapahupu kepe mapanapa?

Kenangan zaman kanak-kanak ini tidak akan dapat saya lupakan sepanjang usia kerana di dalamnya terselit 1001 kenangan manis yang sukar untuk berulang di zaman dewasa kini. Adakah pembaca pernah melalui saat-saat indah seperti saya ?