Monday, February 28, 2011

Dia Nenekku

Banyak perkara yang saya belajar ketika bercuti di Ranau, Sabah bersama sahabatku, Nana. Dua budaya yang berbeza bertembung. Budaya masyarakat yang hidup di kawasan bukit dan menyara hidup dengan bertani amat berbeza dengan budaya hidup saya iaitu budaya masyarakat yang tinggal di kawasan laut dan melakukan aktiviti perikanan. Itu jika dilihat daripada aspek corak hidup, tapi jika dilihat daripada sudut budaya dan bahasa memang amat jauh bezanya.


            Kedatangan saya di Kampung Nana disambut mesra oleh keluarganya. Pada mulanya, rasa agak kekok sedikit tapi dalam masa sehari, saya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana. Nana memperkenalkan neneknya yang sudah berusia 104 tahun. Rasa kagum menyelinap di hati melihat keadaan neneknya itu. Walaupun sudah lanjut usia tapi fizikalnya masih kuat. Namun, ada satu masalah yang dihadapi oleh nenek itu. Beliau tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu. Komunikasi masyarakat di sana menggunakan bahasa peribumi mereka iaitu bahasa Dusun sebagai bahasa pengantar utama tetapi majoriti daripada mereka fasih menggunakan bahasa Melayu. Hanya golongan berusia sahaja yang tidak dapat bertutur menggunakan bahasa Melayu.

            Nana menjadi jurualih bahasa ketika saya dan neneknya sedang berbual. Pada pendapat saya keadaan ini berlaku kerana neneknya tidak terdedah secara luas dengan bahasa Melayu dan penggunaan bahasa Dusun sebagai bahasa mengantar utama antara kaum di sana mendorong neneknya untuk tidak belajar bahasa Melayu. Beliau mungkin akan berhadapan dengan masalah jika keluar daripada komunitinya. Usia neneknya yang sudah mencecah angka 100 tahun juga menjadi penyebab baginya tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu.

            Pembentukan Malaysia berlaku pada tahun 16 Mei 1963, pada ketika itu neneknya sudah pun berusia. Maka sukarlah baginya untuk menerima bahasa asing sebagai bahasa pertuturan kerana sudah terbiasa dengan bahasa natif kaum mereka. Sekiranya kita ingin anak kita mudah mempelajari sesuatu bahasa, maka dedahkan mereka dengan bahasa asing itu. mengaplikasikan sesuatu dalam hidup akan meningkatkan tahap pemahaman dan penerimaan manusia.

No comments:

Post a Comment