Wednesday, February 23, 2011

Kayanya kita

Baru saya sedar betapa kayanya kita. Kaya yang abstrak bentuknya. Bukan hanya kaya harta tetapi kaya budi pekertinya, kaya bahasanya dan kaya dengan unsur nasihat dalam membentuk generasi yang berguna untuk negara. Salah satu kekayaan kita itu dapat dilihat daripada khazanah sastera asli Melayu iaitu pantun. Harun Mat Piah (1989), memberikan definisi berdasarkan aspek dalaman dan luaran. Aspek dalaman mewakili unsur estetika pantun meliputi unsur estetika dan isi. Pantun menjadi wadah pengantara masyarakat Melayu dahulu menyampaikan pesanan kepada generasinya pada masa kini. Mereka sangat berpegang pada adat ketimuran dan keislaman. Pesan-memesan dan nasihat-menasihati menjadi tanggungjawab bagi memastikan masyarakat mereka tidak melupakan asal usul. Kita perhatikan pantun di bawah ini:

Limau purut di tepi rawa,
Buah diletak di atas papan,
Jangan diri dapat kecewa,
Lihat contoh kiri dan kanan.

Kayu bakar dibuat arang,
            Arang dibakar memanaskan diri,
Jangan mudah salahkan orang,
            Cermin muka lihat sendiri.

Kedua-dua pantun diatas, mengandungi pesanan orang tua dan dijadikan panduan supaya masyarakatnya tidak lupa budaya berbudi bahasa. Kebudayaan Melayu jelas tergambar pada karya sasteranya antaranya pantun ini. Marilah bersama kita nilai budaya diri sekarang dengan budaya sebenar masyarakat Melayu masa dahulu. Kita boleh jadikan pantun sebagai rujukan dan panduan membentuk jati diri Melayu yang sebenar kerana pantun dihasilkan oleh nenek moyang Melayu.

Bahasa yang digunakan bagi menghasilkan pantun juga mengandungi unsur estetika yang tinggi. Pemilihan perkataan yang indah ini menunjukkan Melayu adalah bangsa yang mengutamakan bahasa yang baik. Bahasa yang dapat menyejukkan jiwa sesiapa yang membaca dan mendengarnya. Lazimnya, pantun sering memasukkan unsur alam seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang. Betapa eratnya hubungan alam dalam kehidupan masyarakat Melayu pada masa dahulu. Oleh itu, kita sebagai generasi baru harus tahu menghargai alam dan memanfaatkan sumber alam dengan sebaik mungkin. Betapa banyaknya pesanan yang terangkum dalam pantun. Terpulang kepada kita untuk mencerna maklumat untuk dijadikan panduan dan maklumat bagi kebaikan bangsa.

No comments:

Post a Comment