Wednesday, February 9, 2011

Gua dan Lu


Sebelum ini, saya beranggapan bahawa penggunaan kata ganti nama diri pertama iaitu gua dan kata ganti nama diri kedua iaitu lu biasanya membawa nilai rasa yang kurang baik jika dibandingkan dengan ungkapan saya dan awak. Penggunaan kata ganti nama diri ini juga sering digunakan oleh golongan samseng dan tidak digunakan dalam kekeluargaan. Namun, anggapan saya itu silap kerana kata ganti nama diri ini juga digunakan bagi menunjukkan nilai kekeluargaan. Walaupun kelihatan agak ganjil tapi situasi ini memang berlaku. Bagi mereka penggunaan gua dan lu ini tidak membawa nilai rasa negatif dan kasar. Saya sertakan satu situasi bagi menerangkan isu tersebut.

Pada suatu petang, aku berjalan dengan kawanku. Sewaktu kami berjalan aku lihat dia sedang sibuk bermesej menggunakan telefon bimbit dengan seseorang. Maka sesi dialog kami pun bermula.
  Aku       : Awak mesej dengan siapa?
Dia        : Tengah mesej dengan adik. Adik cakap mak merindu saya di rumah.
Aku       : Amboi… anak kesayangan rupanya.
Dia        : Hehehe…
Aku        : Tapi… kenapa awak menggunakan ganti nama diri gua dan lu waktu bermesej dengan adik awak?
Dia         :Dalam keluarga, memang kami menggunakan ganti nama diri tersebut. Sudah menjadi kebiasaan antara kami.

Ulasan : kadang-kadang sesuatu perkataan yang dianggap sebagai kurang sopan apabila dituturkan dan tidak sesuai digunakan apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripada kita tetapi boleh digunakan di kawasan-kawasan tertentu. Perkara ini disebabkan oleh persekitaran sesuatu masyarakat yang sudah terbiasa dengan panggilan atau ungkapan tersebut. Bagi mereka penggunaan sesuatu perkara ini adalah sopan dan tidak membawa nilai rasa negatif dalam diri. Maka, kita harus mengetahui budaya penggunaan bahasa sesebuah masyarakat sebelum membuat penilaian yang negatif terhadap masyarakat tertentu.

No comments:

Post a Comment