Monday, February 28, 2011

Permainan Kami

Cuti semester yang lalu, saya berkunjung ke rumah keluarga di kampung. Saya berasa amat gembira kerana dapat berjumpa dan bermesra dengan nenek. Kedudukan kampung halaman dengan rumah yang jauh menjadi faktor penghalang kepada kami untuk selalu berkunjung ke kampung. Bayangkan, perjalanan ke kampung dengan menaiki bas akan mengambil masa 13 jam. Suasana zaman kanak-kanak yang menggembirakan selalu bermain di dalam benak fikiran. Dulu sebelum ayah mendapat pekerjaan di Tawau, kami tinggal di rumah nenek. Sepupu datang setiap hari ke rumah nenek dan kami akan bermain bersama-sama. Kami akan bermain pelbagai permainan tradisional bersama-sama. Antaranya ialah permainan teng-teng, baling selipar, kobat, main lompat getah dan main polis-pencuri. Suasana kampung itu  hidup dan meriah dengan gelak tawa dan marah bebel nenek pada waktu itu.

            Tapi apabila saya perhatikan sekarang, kanak-kanak sudah mula kehilangan identiti bangsanya. Mereka lebih berminat untuk duduk menonton televisyen di rumah ataupun bermain permainan Playstation dengan kawan-kawan yang lain. Pengaruh teknologi membuatkan anak bangsa kita malas dan tidak aktif pada zaman kecilnya. Apabila umur mereka mula beranjak naik, tidak akan ada kenangan indah yang dapat dikongsi bersama anak cucu mereka. Pengaruh luar telah membentuk diri sehingga nilai tradisional dipinggirkan. Mereka sudah tidak mengenali permainan tradisional lagi. mereka hanya akan mengetahui info atau maklumat tentangnya di muzium-muzium budaya Melayu sahaja.

            Alangkah sayang sekali jika perkara ini dibiarkan berlaku. Kemajuan teknologi seharusnya membawa kebaikan kepada sesebuah bangsa tetapi kehadirannya juga akan membawa kesan kontra. Renungkanlah wahai bangsaku, jangan biarkan budaya lama menjadi bahan pinggiran yang tidak bernilai.

No comments:

Post a Comment