Friday, March 18, 2011

Majalah Hiburan

Perhatikan di kedai-kedai sama ada kedai runcit, kedai buku mahupun kedai alat tulis pasti akan menjual majalah yang berunsur hiburan antaranya majalah gosip artis tempatan. Antara majalah gosip artis yang mendapat sambutan hangat ialah Hai, Mangga dan URTV. Di dada-dada majalah tersebut memaparkan pelbagai adegan yang kurang enak dilihat. Artis wanitanya memakai baju-baju yang ketat dan menayangkan aurat kewanitaan mereka manakala artis lelaki pula bergambar ala-ala berpelukan dengan wanita bukan muhrimnya. Tambahan pula, majalah hiburan ini dijadikan medium gosip dan menjadi publisiti murahan kepada artis melonjakkan nama mereka dalam dunia hiburan Malaysia.

            Namun malangnya, kewujudan majalah hiburan ini mendatangkan fenomena budaya yang kurang manis dalam masyarakat. Selain daripada penggunaan bahasa santai yang sering kali melanggar hukum bahasa Melayu seperti kesalahan ejaan dan bahasa rojak, melalui majalah ini jugalah unsur mengumpat dan menyebarkan khabar angin berlaku. Kadang kala maklumat yang dinyatakan di majalah adalah tidak betul dan hanya bersifat spekulasi semata. Cara ini memburukkan lagi industri muzik negara. Konsep kewujudan media massa akan tergugat sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan. Penyampaian maklumat yang berunsur gosip membuatkan minda masyarakat kita mundur. Tambahan pula, membentuk budaya bergosip atau mengumpat dalam kalangan masyarakat berkaitan sesuatu yang tidak diketahui hujung pangkal cerita yang sebenar.

            Saya berharap konsep kewujudan bahasa dan tulisan sebagai wadah menyampaian ilmu diketengahkan oleh individu yang terlibat secara langsung dalam media massa dan cetak. Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata sehingga mengabaikan tanggungjawab diri sebagai pejuang bangsa. Media cetak memainkan peranan penting bagi membentuk masyarakat yang mencintai akan ilmu bagi dikongsi bersama untuk mencapai keagungan bangsa.

No comments:

Post a Comment