Monday, March 14, 2011

Panjangnya

Kedengaran tajuk entri pada kali ini seakan pelik, tapi percayalah isu bahasa dan budaya yang bakal saya kupas ini ternyata dekat pada diri kita. Apa yang panjang ? mungkinkah seutas tali, seekor ikan Arowana ataupun sebilah pedang samurai Jepun. Semua itu salah, perkara yang saya ingin kaitkan dengan panjang ialah nama orang.

            Dapat diperhatikan sekarang, fenomena meletakkan nama anak yang panjang, berbelit-belit dan sukar untuk disebut sinonim dengan masyarakat Melayu. Bagi mereka nama yang panjang ini membawa kesan keunikan kepada anak tersebut. Mereka berbangga dengan nama-nama itu. kadang kala nama seseorang itu bukan lagi kedengaran seperti nama anak berbangsa Melayu, jika sekali sebut seakan nama ‘Mat Salleh’ pun ada. Mentaliti masyarakat sekarang amat mengagung-agungkan bangsa asing. Mereka tidak mahu meletakkan nama Melayu pada nama anak mereka. Mungkin kerana anggapan bahawa nama itu sudah lapuk dek masa.

            Lihat sahajalah sekarang ini, ada lagikah anak muda yang bernama Melur, Melati ataupun Kenanga? Kalau adapun bilangannya amat sedikit. Kita sudah tidak berminat meletakkan nama anak berdasarkan nama alam yang indah. Alasan yang sering kita dengar ialah “trend nama macam itu hanya laku zaman mak bapa kita dulu saja”. Nama anak muda sekarang selalunya minimum dua patah perkataan. Contohnya Alaisyah Balqis, Rafique Izhan. Tidak kurang juga tiga patah perkataan seperti Nursyakirah Eva Natasyah. Betapa berbelitnya nama, inilah budaya Melayu, mudah terpengaruh dengan unsur luar. Renung-renungkanlah wahai sahabatku.

No comments:

Post a Comment